Wednesday, June 3, 2009

CHIN PENG TAK HADIR TEMUDUGA BALIK MALAYSIA PADA 31 OKTOBER 1992

CHIN PENG JUGA GAGAL KEMUKAKAN SIJIL KELAHIRAN BELIAU KE MAHKAMAH TINGGI JALAN DUTA PADA 1 0GOS 2007 SEBAGAIMANA KEPUTUSAN MAHKAMAH BAGI MEMBUKTIKAN STATUS KEWARGANEGARAAN MALAYSIA BELIAU YANG SAH. AKHIRNYA MAHKAMAH PERSEKUTUAN PADA 20 APRIL 2009 TELAH SEBULAT SUARA MENOLAK PERMOHONAN RAYUAN CHIN PENG UNTUK KEMBALI KE MALAYSIA(RUJUK KENYATAAN AKHBAR YB DATUK WIRA ABU SEMAN YUSOF, TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI).

PERSOALANNYA SEKARANG ISU INI TELAH DIPOLITIKKAN ATAS DASAR HAK KEMANUSIAAN KERANA CHIN PENG TELAH TUA DAN BERUMUR 87 TAHUN. MAKA ADAKAH BELIAU SEORANG YANG BERKEPERIMANUSIAAN DAN TAAT SETIA PATUH KEPADA PERLEMBAGAAN SERTA UNDANG-UNDANG MALAYSIA???

ISU INI TELAH DIPOLITIKKAN OLEH PEMBANGKANMG DAN MEREKA YANG BERKEMPENTINGAN.BACA INI SETERUSNYA....


Malaysia tidak langgar perjanjian
dari utusan malaysia 3 Jun 2009 ms 15
Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Jun - Dakwaan bahawa kerajaan memungkiri Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaya (PKM) kerana menghalang Chin Peng pulang ke Malaysia adalah tidak tepat.

Bekas Setiausaha Agung PKM itu sebaliknya tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk memohon pulang ke negara ini selepas perjanjian damai dimeterai antara dua pihak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, walaupun Chin Peng atau nama asalnya Ong Boon Hwa telah membuat permohonan untuk pulang namun beliau tidak menghadiri proses temu duga yang ditetapkan pada 31 Oktober l992.

''Chin Peng telah mengemukakan permohonan untuk kembali ke Malaysia sehari sebelum tempoh yang diberikan berakhir, dia bagaimanapun tidak menghadiri temu duga yang ditetapkan.

''Chin Peng juga tidak pernah membuat permohonan baru tetapi menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewarganegaraannya, ini menunjukkan beliau enggan mematuhi syarat perjanjian yang ditandatanganinya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abu Seman berkata, semua bekas ahli PKM yang ingin pulang ke Malaysia perlu menghadiri temu duga sebelum permohonan mereka dipertimbangkan.

''Seramai 442 orang bekas ahli PKM telah memohon untuk pulang ke Malaysia dan 406 orang daripada mereka telah menghadiri temu duga.

''Kesemua ahli PKM yang memohon dan memenuhi syarat yang ditetapkan telah diterima kembali ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, Chin Peng bukan wira negara yang patut dibela oleh mana-mana pihak kerana telah melakukan keganasan di negara ini.

''Chin Peng ketika itu telah menjalankan kegiatan subversif dan keganasan dalam usaha PKM memerangi dan menggulingkan Kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, antara mangsa PKM ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang dibunuh di Ipoh pada 13 November 1975.

''Sepanjang 1948 hingga 1990, seramai 2,083 orang anggota keselamatan telah terkorban manakala 3,541 orang lagi cedera.

''Keganasan PKM juga mengakibatkan seramai 2,588 orang awam terkorban dan 1,490 lagi cedera," katanya.

Tambahnya, kemasukan semula Chin Peng ke negara ini akan mencetuskan sentimen tidak puas hati di kalangan rakyat.

''Kepulangan Chin Peng ke Malaysia juga menunjukkan seolah-olah pengorbanan anggota keselamatan yang menentang PKM dahulu menjadi sia-sia," katanya.

DAEI BERITA HARIAN 3 JUN 2009

Rakyat tidak mudah lupa keganasan komunis
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
ayop_60@yahoo.com

CHIN Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi (bersenjata) yang didokongnya banyak menumpahkan darah.

Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.

Pastinya perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

Manja Mohd Ludin dalam buku Psikologi Sosiologi dan Falsafah Dalam Pendidikan (DBP, 1990) mencatat seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat kerana bertempur dengan komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang.

Elok rasanya kita menyingkap sekelumit sejarah pergerakan komunis di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada 1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern), terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai kaum Cina.

Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.

Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International Trade Union Organisation (Profintern). General Labour Trade Union’ di Singapura turut dipengaruhi komunis.

Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928 Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930 menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan Communist Youth. Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur.

Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal pengurusannya.

Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan yang sah (1945-1948).

Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kekejaman.

Apabila British kembali pada awal September 1945 dan mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan didalangi komunis.

Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).

Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar yang mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak perjanjian Damai Baling dan meneruskan perjuangan bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis antarabangsa di Tanah Melayu. Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu Cheong dan Musa Ahmad. Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan fahaman kiri ini.

Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga Anti-Imperialis.

Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri. Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang.

Wakil PKM iaitu Rashid Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947. Beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan tetapi usahanya gagal kerana ulama menolak perjuangan mereka.

Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu tetapi gagal. Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975).

Tugu Negara juga turut dibom pada 1975. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.

Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan di negara ini?

Penulis adalah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Berita Harian 3 Jun 2009 -KDN nafi mungkir janji
Oleh Haika Khazi

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan memungkiri perkara-perkara yang dipersetujui di dalam Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaysia (PKM) yang dimeterai pada 2 Disember 1989 berhubung isu Chin Peng.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata seramai 442 bekas anggota PKM memohon untuk kembali ke Malaysia, tetapi hanya 406 menghadiri temu duga yang ditetapkan kepada semua anggota PKM yang memohon dan memenuhi syarat diterima kembali ke negara ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa mengemukakan permohonan sehari sebelum tempoh permohonan berakhir selain gagal menghadiri proses temu duga yang ditetapkan mengikut perjanjian itu.

“Chin Peng juga tidak pernah mengemukakan semula sebarang permohonan baru sebaliknya menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewarganegaraannya.

“Ini menggambarkan beliau enggan memenuhi syarat perjanjian dan tidak berminat kembali ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abu Seman berkata, berdasarkan rekod, Chin Peng memfailkan lima afidavit di mahkamah antara 4 Mac hingga 4 April 2005 bagi membolehkannya mendapat perintah supaya diterima sebagai warga negara ini.

Beliau juga berkata, Chin Peng bukanlah wira yang patut dibela sebaliknya Setiausaha Agung PKM yang secara terang-terangan menjalankan kegiatan subversif dan ganas dalam usaha parti itu memerangi dan menggulingkan kerajaan.

“Bagi KDN, kemasukan semula Chin Peng ke negara ini bukan saja mencetuskan sentimen tidak puas hati di kalangan rakyat, malah menunjukkan seolah-olah pengorbanan anggota kese-lamatan ketika menentang pemberontakan komunis dulu adalah sia-sia belaka,” katanya.

Abu Seman berkata, seramai 2,083 anggota keselamatan terkorban, manakala 3,541 lagi cedera, dan orang awam yang terbunuh pula seramai 2,588 dan 1,490 lagi cedera ketika berlakunya pemberontakan PKM, dari 1948 hingga 1990.

Beliau berkata, antara pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terkorban angkara keganasan PKM termasuk bekas Ketua Polis Kuala Lumpur ketiga, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 dan bekas Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong yang dibunuh di Ipoh, Perak pada 13 November 1975.

3 comments:

  1. PKM bukan perjuangan tuntut kemerdekaan
    berita Harian 3 Jun 2009
    KISAH kekejaman pengganas komunis dan perjuangan kerajaan yang memerintah menghapuskan aktiviti pengganas sejak zaman darurat (1948-1960) hingga ke tahun 1980-an masih mampu diingati oleh generasi era itu dengan terperinci dan masih sesegar darah pejuang yang disembelih hidup-hidup oleh pengganas yang buta hati.

    Bagi kami generasi yang lahir pada era 1970-an, kisah keganasan komunis di Sungai Siput, Perak yang membunuh pengurus ladang berbangsa Inggeris yang membawa kepada perisytiharan darurat selalu diceritakan oleh ibu yang tinggal di Estet Peng Soon, Sungai Siput ketika zaman sebelum merdeka.

    Kisah keganasan komunis ini bukanlah perkara dongeng. Mereka tidak boleh diizin menjejakkan kaki walaupun seinci pun di bumi Malaysia dan diharamkan nama mereka disebut langsung.

    Walaupun ada ahli Parti Komunis Malaya (PKM) mendabik dada mengatakan mereka adalah pejuang kemerdekaan, tidak perlu kita bertegang leher atau bertekak mengatakan sebaliknya. Sejarah membuktikan siapa pejuang siapa petualang. Jangan ingat generasi baru buta sejarah, komunis dan keganasan pejuang buku kecil berwarna merah ini akan diingati selagi kita hidup.

    Rakyat yang cintakan agama dan negara mesti menghalang sebarang usaha membawa pulang bekas pemimpin PKM kembali ke bumi yang pernah disimbah dengan darah anak watan.

    Di blog ideologi sesat yang dipelopori Karl Marx ini dikhabarkan wujud dengan perjuangan mengjustifikasikan gerakan komunis sebagai sebahagian perjuangan kemerdekaan. Kalau benar mengapa majoriti rakyat tidak senada dengan perjuangan sejak zaman Jepun di Malaya lagi.

    Lebih menakutkan ada bekas anggota PKM ini mengatakan walaupun mereka adalah anggota komunis, mereka tetap kekal beragama Islam dan dibuktikan dengan pembinaan surau di kawasan penempatan semula mereka di sempadan Malaysia-Thailand.

    Kita sebagai rakyat yang cintakan keamanan tidak pernah menidakkan ideologi yang menjurus kepada kebaikan tetapi jika agama dan ideologi dicampuradukkan, adakah ia perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.

    Justeru, langkah mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin perlu difikirkan semula. Sesungguhnya komunis bukan saja mengancam nyawa kita, malah ia mengancam umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia.

    Bagi kami generasi muda, jasa pejuang yang terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan askar Melayu melawan komunis menjadi tonik perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara berdaulat pada masa depan. Pejuang yang menghapuskan komunis tidak memerlukan sangat gelaran Datuk, pingat atau wang ringgit untuk jasa mereka dibalas.

    ABDUL RAZAK IDRIS,
    Banting, Selangor.

    ReplyDelete
  2. isunya PKM juga islamaik??? sembahyang dan pergi haji ke mekah!!! seorang islam dalam PKM merelakan dan halalkan perbuatan jahat dan zalim si kapir harbi chin peng dan pengikutnya? islam apa itu??? minta PAS dan PKR yang islam tu jawab???!!!

    ReplyDelete
  3. Terkini Dari KDN


    KERAJAAN TIDAK MUNGKIR JANJI, SERAMAI 406 ORANG BEKAS AHLI PKM TELAH DITEMUDUGA SEBELUM DIPERTIMBANGKAN KEMBALI KE TANAH AIR, MALAYSIA - YB DATUK WIRA ABU SEMAN YUSOP, TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI
    ( 2/6/2009 )

    Putrajaya, 2 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan adalah tidak benar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan telah memungkiri perkara-perkara yang dipersetujui di dalam Perjanjian Peletakan Senjata Parti Komunis Malaysia (PKM) yang dimeterai pada 2 Disember 1989.YB Datuk Wira Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, hasil daripada perjanjian itu seramai 406 orang telah menghadiri temuduga sebagai memenuhi salah satu syarat sebelum permohonan mereka dipertimbangkan. Beliau menambah, kesemua ahli PKM yang memohon dan memenuhi syarat yang ditetapkan telah diterima kembali ke negara ini. Beliau seterusnya berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Jalan Duta memutuskan pada 31 Julai 2007 bahawa Chin Peng perlu mengemukakan sijil kelahiran untuk mengesahkan status kewarganegaraannya tetapi beliau gagal berbuat demikian dalam beberapa siri perbicaraan mahkamah.
    lihat
    http://www.moha.gov.my/template03.asp?tt=news&newsID=221

    ReplyDelete